Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menjadi agensi kedua di bawah Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah selesai melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan bagi Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) pada Selasa, 30 Jun 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA.
Sesi ini dilaksanakan bersama Unit Integriti RISDA sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang sedang diguna pakai oleh agensi awam bagi memperkukuh pengurusan integriti, pematuhan serta tadbir urus organisasi secara lebih menyeluruh dan berstruktur.
Pelaksanaan sesi ini dimulakan dengan mesyuarat pembukaan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah RISDA, YBrs. Encik Zainal Azni bin Zulkifli, bersama barisan pengurusan kanan, warga kerja Unit Integriti RISDA serta barisan konsultan penilai IIM.
Melalui sesi penilaian dan konsultasi lapangan ini, dapatan semakan serta syor penambahbaikan yang dikenal pasti diharap dapat menjadi nilai tambah kepada RISDA dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berintegriti, sejajar dengan komitmen ke arah tadbir urus sektor awam yang lebih mantap dan berimpak.
Sesi ini telah dikendalikan oleh barisan konsultan penilai IIM yang diketuai oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif bersama penilai kedua En. Muhammad Rasyid bin Mohammad Rohim dan penilai ketiga, Puan Fara Hasda binti Suhaimi yang mana masing-masing dari Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA).