Institut Integriti Malaysia (IIM) telah dijemput melaksanakan Bengkel Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) Peringkat Kementerian Komunikasi pada 23 Jun 2026. Bengkel ini diadakan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Kementerian Komunikasi yang menetapkan supaya semua agensi di bawah kementerian melaksanakan SPINE. Pelaksanaan bengkel ini menjadi langkah penting bagi memastikan agensi-agensi terlibat mendapat kefahaman yang jelas berhubung tatacara penggunaan sistem, keperluan maklumat serta proses pengisian penilaian kendiri SPINE.
Sesi ini terbahagi kepada tiga pengisian utama. Sesi pertama dimulakan dengan taklimat pengenalan kepada SPINE bagi memberi gambaran asas mengenai tujuan, kepentingan dan peranan sistem ini dalam membantu agensi menilai tahap integriti serta governans masing-masing. Sesi kedua memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan proses pendaftaran SPINE, termasuk penerangan mengenai langkah-langkah penggunaan sistem serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh agensi sebelum melaksanakan penilaian kendiri. Sesi ketiga pula diteruskan dengan tutorial pengisian SPINE secara praktikal yang merangkumi Elemen 1 hingga Elemen 7, bagi membimbing peserta memahami maklumat yang perlu dilengkapkan serta dokumen sokongan yang perlu disediakan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini membantu menyelaraskan kefahaman antara Kementerian Komunikasi dan agensi-agensi di bawahnya, khususnya dalam aspek pelaksanaan penilaian kendiri serta penyediaan dokumen bagi menghadapi Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE. Pendekatan ini juga selari dengan misi Kementerian Komunikasi untuk memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang berkualiti dan berkesan menerusi kandungan kreatif, sumber penerangan dan penyiaran berintegriti. Sesi ini telah dikendalikan oleh Encik Nabil Eiman Azman dan Encik Abdul Rahman Abdullah dari Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), IIM.